Selasa, 14 Mac 2017

Perjalanan ke Tanah Suci. Episod 1

Tinggal tiga hari lagi masa untuk kami berangkat ke Tanah Suci. Isteri saya cemas tak sudah kerana kami belum lagi dimaklumkan visa yang dipohon bagi pihak kami telah lulus atau tidak. Kami bimbang jika visa tidak lulus, takut mengalir air mata saja di lapangan kapal terbang. Jadi, Sabtu itu kami mengambil peluang untuk kembali ke pejabat Andalusia di Bangunan Perniagaan Paya Keladi. Senang cerita, tepi Nevandas.

Di samping mengetahui status visa kami, kami mengambil peluang untuk memantapkan lagi pengetahuan umrah kami setelah satu kursus umrah dan berbelas belas klip Youtube kami tonton. Bagi yang berminat untuk mengetahui selok belok umrah, setiap hari Sabtu, pihak Anadalusia mengadakan satu ceramah umrah dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 12 tengahari.

Kebetulan pada hari itu, yang kasi ceramah ialah satu ustaz muda yang kakinya telah putus sebelah kerana kemalangan. Berbeza dengan ustaz yang telah saya hadiri dua minggu sebelum ini, ustaz kali ini lebih energetik penyampaiannya. Saya tak ingat sangat isi ceramahnya. Yang saya ingat pun kisah dia kemalangan, putus kaki dan koma selama beberapa bulan. Dia tambah lagi dengan bangga, walaupun kakinya telah putus, tapi dia masih mampu untuk membenihkan enam orang anak. Beliau berkongsi rahsia kepada audien yang beliau mampu mempunyai anak sebanyak itu kerana mengamalkan makjun orang kampung ubi jaga. Saya pun tak pasti apa kaitan umrah dengan ceritanya mengenai makjun tersebut. Tapi yang pasti saya kena tanya kawan kawan penguatkuasa farmasi terlebih dahulu adakah makjun yang ustaz itu bagitahu selamat ke tidak untuk dimakan. Setahu saya kebanyakan makjun mencampurkan Viagra (sildenafil) untuk menguatkan tenaga batin.
Alamak, macam jauh je cerita saya ni.

Berbalik kepada status visa kami, Alhamdulillah visa kami telah lulus dan kami selamat untuk terbang ke Arab Saudi. Brader Andalusia suara Fizz Fairuz ada bertanyakan saya bagaimana jalan kami untuk ke KLIA2 nanti? Kami sebenarnya  sebelum ini sudah memlih menggunakan pengangkutan udara untuk ke sana. Terima kasih kepada asas Bahasa Inggeris saya yang membantu kami untuk menempah tiket kapal terbang gaya atas talian. Walaupun mungkin kebanyakan orang sudah biasa membuat tempahan tiket kapal terbang, tapi jauh di sudut hati saya, saya sebenarnya tak sangka pencapaian saya mampu pergi ke setahap ini. Menempah tiket kapal terbang secara atas talian. Sesuatu yang tak pernah ada dalam kepala saya.

Cuma yang membuatkan saya cemas apabila brader Andalusia Fizz Fairus mula sebut tentang check in online, check in bagasi, boarding pass, dan sebagainya. Paling last saya naik kapal terbang ialah masa darjah lima, lima belas tahun yang lepas. Masa tu tak tahu benda. Jadi bila brader ni ungkit perkataan perkataan macam tu, ia sangat asing bagi saya. Saya menelan air liur beberapa kali. Saya ingatkan naik kapal terbang ni sama macam naik bas.

Saya tak nak  nampak slow sangat di hadapan isteri dan brader Andalusia tu, saya buat buat tenang seperti semua keadaan adalah terkawal. Mereka tidak tahu, di sebalik debaran itu, saya mula bertanyakan melalui perisian whatsapp kepada empat orang secara personal.  Hendak tanya dalam grup kan nampak saya ni kodi sangat. Segan juga saya. Kritik sistem itu, kritik sistem ini, bukan main eksyen lagi. Tapi nak naik kapal terbang pun tak reti.

Tiga daripadanya ialah rakan saya di UIA dulu. Zaiful Ashraf, Ayzat Jaafar dan Aliff Haikal. Saya bertanya kepada ketiga tiga orang ini kerana saya yakin mereka bertiga pernah naik kapal terbang selain mereka bertiga ini tidak kuat memtertawakan orang. Dalam situasi berdebar, saya tak suka jika ditertawakan orang. Malah, imej mereka bertiga yang memakai cermin mata menguatkan lagi firasat saya bahawa ketiga tiga orang ini adalah pilihan yang tepat.

Seorang lagi yang saya tanya ialah Encik Bakhtiar yang tiba tiba tanya soalan kepada saya mengenai stok ubat di farmasi klinik Marang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya terus membalas dengan soalan kepada beliau mengenai cara cara menaiki kapal terbang. Encik Bakhtiar seorang yang berpengelaman luas selain dia sendiri pun baru sahaja pulang dari umrah beberapa bulan yang lepas. Keempat keempat orang itu saya bertanya dengan soalan yang sama dengan menggunakan teknik copy paste. “Salam maaf ganggu. Macam mana nak check in nak naik kapal terbang? Tolong weh, aku first time ni naik kapal terbang. Nak naik lusa ni. Apa perlu aku buat?”

Alhamdulillah. Kesemua empat empat rakan saya membalas dengan jawapan yang hampir sama. Boleh check in secara online mahupun menggunakan kiosk di lapangan terbang. Mereka turut menasihatkan untuk tiba di airport dua jam sebelum berlepas untuk urusan check in bagasi. Kini saya sudah separuh lega. Jalan jalanya mungkin saya boleh bayangkan sedikit. Cuma tunggu pelaksanaannya sahaja. Mampukah kami melestarikan tugasan ini?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan