Selasa, 12 Julai 2016

Blues Lepas Raya. (Edited)

Bila saya ada baca status facebook satu kakak tu tentang bersyukur dapat pergi kerja. Saya jadi sedikit insaf. Betul kata kakak tu. Tak semua orang berpeluang mempunyai kerja macam saya. Jadi, untuk membalas semula kesilapan tulisan saya pada malam semalam, saya menyunting semula kisah semalam supaya nampak lebih berjasa.

Hari ini adalah hari pertama  saya bekerja setelah enam hari cuti raya. Cuaca pagi itu sungguh bagus dan mendamaikan. Suhu bilik dan suhu tilam pula sangat optimum untuk saya tidur semula. Malah, suhunya jauh lebih baik daripada suhu saya mula mula baring pada malam tadi. Kalu saya tarik selimut, memang pergh!! Namun, kerana azam yang ada pada diri saya, saya bangkit daripada tidur dengan penuh semangat Rocky Balboa. Hari ini saya cukup bersedia untuk menjalankan tanggungjawab kepada kesejahteraan masyarakat. Sesungguhnya kesejahteraan masyarakat adalah pemangkin kepada pembangunan bangsa dan negara. Seterusnya memacu Negara mencapai wawasan 2020. Bila dah capai wawasan 2020, ada can la kita nak naik kereta boleh terbang. Boleh elak jem balik Raya dan pemandu yang bawak kereta slow di lorong kanan. Hish, geram je saya kalu teringat orang bawak kereta slow lorong kanan ni!

Saya bangkit dari katil dan mencapai tuala pada ampaian. Tuala itu digenggam kemas sebagai simbol bahawasanya saya betul betul bersedia untuk pergi mandi. Mandi merupakan satu titik kebangkitan dalam diri manusia. Ada orang, bangun juga tidur tapi sebab nak matikan alarm telefon aje. Lepas tu tidur semula. Memang tak boleh pakai. Dalam gelap pagi, saya buka suis lampu dan saya tutup suis kipas dengan serentak menggunakan jari telunjuk dan jari hantu sebelum melangkah keluar bilik. Sekarang, bilik air adalah destinasi saya seterusnya. “Aku datang, bilik air!” Bisik hati saya.

Setelah belok ke kanan. Walaupun saya begitu bersemangat, tapi itu tidak mengahalang untuk saya mengawal langkah saya untuk tidak mengganggu tidur orang lain. Lebih lebih lagi tidur seorang kanak-kanak. Saya cukup menghormati anak anak sedara yang tengah tidur. Saya percaya kepada Judith Owen. Kanak-kanak memerlukan tidur yang cukup untuk tumbesaran mereka. Bila tumbesaran mereka dikawal dengan baik, maka secara tidak langsung mampu melahirkan aset yang baik untuk negara kita. Bukan macam mak bapak sekarang. Pukul satu dua pagi pergi jalan jalan lagi bawak anak anak kecik. Bila anak sekolah tak pandai, salahkan cikgu.

Saya bergerak lebih kurang 1.7 KM sejam. Dalam langkah yang penuh cemerlang dan bergaya itu, tiba-tiba saya terpijak mercun bawang anak sedara saya.

 “Pang!”

Satu bunyi keluar mengiringi semangat saya pada pagi itu. Sekian.




Isnin, 11 Julai 2016

Blues Lepas Raya.

Malas betul bangun tidur pagi tadi. Enam hari cuti. Sekarang kena pergi kerja. Boring gila. Tapi demi menjalankam tanggungjawab kepada masyarakat serta visi kerajaan, saya gagahkan bangun juga. Lagi pula, saya orang Islam. Kena bangun juga sembahyang Subuh. Lainlah saya ni kuat tahan seksa neraka. Ibu jari kaki tersepak bucu tangga pun dah mengalir air mata.

Pagi itu sungguh tenang. Suhunya sangat sedap untuk tidur semula. Tapi saya tetap bangun perlahan lahan dari katil. Mata saya nampak tak nampak lagi. Saya capai tuala atas ampaian besi dan menuju pintu bilik. Sebelum kaki melangkah keluar, tanpa pandang ke kanan, jari telunjuk saya  memetik suis lampu ke bawah sementara pada masa yang sama jari hantu saya pula tepat memetik suis kipas ke atas. Sungguh selari dan tenang perbuatan saya. Setenang kicauan cengkerik di belakang rumah.

Keluar bilik, saya belok ke kanan menuju bilik air pula. Langkah saya begitu cemerlang. Derap kaki saya sungguh sempurna. Tidak begitu kuat sehingga mampu mengganggu tidur anak anak sedara saya, dan tidak pula terlalu berhati berhati macam orang was was lepas keluar tandas. Sedap sedap pijak kata orang.

Dalam lapan langkah menuju ke bilik air, “Pang!” Bunyi keluar dari tapak kaki saya.


Saya terpijak mercun bawang.