Selasa, 23 September 2014

Memori UPSR Saya.


Saya punya UPSR, saya ambik masa tahun 2002. Tahun Piala Dunia main kat Korea dan Jepun. Masa tu Piala Dunia Brazil yang menang, dengan Ronaldo  rambut potongan tembikai. Saya nyaris nak tiru Ronaldo buat rambut macam tu. Nasib baik tak jadi. Kalu tak, itu mungkin antara pengalaman saya yang paling bangang. 

Berbalik kepada memori UPSR, masa darjah enam saya duduk asrama. Umur 12 tahun pun dah steady hidup berdikari. Waktu UPSR start, tiba tiba menu sarapan bertukar jadi lagi sedap. Air teh pun dah tak rasa payau. Minum pun boleh minum laju laju tak payah nak tutup hidung. Madu pun ada jugak masa tu disediakan. Peh. Macam anak orang kaya minum madu pagi pagi.

Masa UPSR, mak ayah pagi pagi diminta datang berkumpul kat padang untuk kasi sokongan. Saya pun tak terfikir masa tu kenapa kena berkumpul kat padang dan terpaksa memijak embun. Padahal kalu berkumpul bawah pondok nampak lagi official. Entah, mungkin politik orang yang lebih tua.
 Emak dan ayah saya pun ada datang juga. Jadi sebelum periksa nak start, saya akan menuju ke padang dan bersalam dengan mak ayah saya dulu. Mak saya masa tu bawak air apa entah warna putih. Mana dapat pun saya tak tahu. Emak saya pesan air tu kena minum habis sebab air tu boleh kasi jadi cerdik. Mak saya juga pesan nak minum tu kena selawat dulu. Peh, air tu rasa tak sedap langsung. Entah perisa apa. Nasib baik saya ni faham syurga di bawah telapak kaki ibu, saya gagahkan juga minum sambil tahan nafas. Nak cerdik punya pasal.

Bila peperiksaan betul betul nak start, kami akan baca doa dulu sekali dengan mak ayah. Lepas tu, kena berjalan pulak ke arah dewan peperiksaan. Sebelum sebelum ni, padahal kelas biasa je. Tapi bila UPSR dah start, tiba tiba tukar panggil dewan. Siap ada signboard lagi.  Kelas yang dah bertukar jadi dewan tu ada tiga sederet. Saya punya tempat duduk yang dekat dewan paling hujung pasal nama saya start dengan huruf W. Dalam dewan tu ada la dalam 20 orang. Saya pun tak ingat sangat. Yang saya ingat ada Napi kat belakang saya, dan ada Zainudin juga.

Bila saya dah habis jawab, saya akan angkat kertas saya kasi Napi nampak. Bila pengawas pepriksaan jeling, saya kasi jatuh balik kertas saya tu. Bila dia pandang ke lain, saya angkat balik. Ada jugak masa saya angkat tu, dia pandang saya. Tapi dia rilek je buat tak tahu. Paling best masa UPSR ni, kalu pemadam jatuh pengawas tu akan cepat cepat bangun dan tolong ambikkan pemadam. Sebelum periksa start, ketua pengawas tu dah kasitau, kami akan dilayan seperti raja. Kalu ada pemadam jatuh, jangan ambik. Tunggu je pengawas datang. Peh. Pagi dah la minum madu, dalam dewan peperiksaan kena layan macam tu pulak. Steady betul.

Yang paling steady, Zainuddin la. Kalu tak silap saya Zainudin ni tak boleh membaca. Tapi apa peduli pandai membaca ke tak, janji Zainudin ni power breakdance. Saya pun belajar breakdance dengan dia. Steady tak steady Zainudin ni, dia punya kertas jawapan kosong je. Sampai pengawas tu pinjam kertas jawapan orang sebelah suruh dia tiru sutir sutir. Tapi dia steady je tak tiru dan nekad tinggalkan kertas jawapan tu tak bertulis. Berprinsip macam ni la yang anak anak muda kena ada.

Bila dah selesai jawab semua, saya pun mula rasa boring. Untuk mengatasi rasa boring, saya biasa akan mengambil peluang ini untuk keluar ke tandas.  Sebenarnya, bukan saya berniat sangat nak ke tandas, Cuma saya mahu bersiar siar menikmati permandangan. Masa tu tandas yang dekat dengan kelas tu tak boleh pakai. Jadi, kami semua kena naik ke kawasan asrama untuk ke tandas. Lagi jauh perjalanan, lagi banyak permandangan yang saya boleh tengok. Pengawas pun tak awasi pun pemergian saya ke tandas. Diorang  takde pun nak risau kalau tiba tiba saya diserang beruang ke, dipatuk ular ke, kena sorok dengan batu itik ke.

Masa hendak ke tandas ni la, tiba tiba saya tengok ada dua tiga orang cikgu darjah enam berkumpul bawah pondok depan dewan makan asrama dan panggil saya. Masa tu saya tak fikir saya akan diculik atau diapa-apakan oleh cikgu cikgu tu, jadi saya mendapatkan diorang dengan penuh selesa dan rasa selamat. Dekat bawah pondok tu, saya perasan ada kertas soalan sebijik macam yang saya jawab. Saya pun tak tau mana diorang dapat kertas soalan tu. Masa tu pengetahuan internet saya cetek lagi. Jadi saya tak mampu memberi sebarang kesimpulan. Tiba-tiba, Cikgu tu pun tanya, “Hah, ada dok hok dokleh jawab? Kalu dokleh royak la. Cikgu tolong. ” Saya senyum sahaja. Tak sangka dengan umur semuda itu, saya sudah terdedah dengan penyelewengan.



6 ulasan: