Rabu, 20 Februari 2013

Roy Pemuzik: Perjalanan Seorang Guru PJK. (Versi 'uncut')


“Kalau kita tak rock, macam mana kita nak menghadapi hari besok?”

Kata-kata keramat itu tergiang-tergiang dalam kepala seorang pemuda yang sedang berbaring di atas kerusi panjang memandang kipas. Pemuda berbaju pagoda yang sedikit koyak pada bahagian leher itu hanya merenung kipas yang berpusing. Tangan kanannya sengaja diletakkan di atas dahi sebagai simbol dia sedang mempunyai masalah.

Kata-kata itu sebenarnya adalah dari mulutnya sendiri. Sejarahnya, soalan itu ditujukan kepada seorang pengawas semasa dia bersekolah dulu. Ketika itu, pengawas tersebut menasihatinya supaya tidak menyertai Battle of The Band di Bandar Kuala Terengganu kerana tarikh Battle of The Band itu jatuh pada tarikh yang sama dengan hari Pertandingan Merentas Desa peringkat sekolah. Ketidakhadirannya di pertandingan wajib untuk semua murid itu boleh mengundang kemarahan guru. Lebih-lebih lagi Cikgu Ilyas yang sangat menitikberatkan soal sukan dalam kalangan murid. Training petang petang pun dia semak nama satu persatu mengikut bilik, inikan pula hari pertandingan. Namun, soalannya yang bernas itu membuatkan pengawas itu terdiam dan dia tekad untuk meneruskan niatnya  menyertai  satu pertandingan rock di Bandar Kuala Terengganu.

Tapi itu dulu, waktu dia tingkatan tiga. Masa tu, baju seluar sekolah pun mak ayah yang belikan. Sekarang dia sudah dewasa. Dia kini sudah bergelar seorang cikgu Pendikan Jasmani Dan Kesihatan di sebuah sekolah rendah di ibu kota Kuala Lumpur. Sekarang dia sudah sedar, rock sahaja tak cukup untuk dia meneruskan hidup.

Sekarang baru masuk setengah bulan. Tapi wangnya sudah banyak mengalir untuk bayar ansuran MyVi, roadtax, sewa rumah, bil air, bil elektrik, tol, duit minyak, saman had laju highway, saman tak pakai tali pinggang kaledar, saman parking DBKL, barang barang sekolah buat mengajar, fotostat kertas periksa, futsal, baiki paip air pecah depan rumah, ansuran peti sejuk, serta satu tudung Ariani sebagai hadiah hari jadi kepada Cikgu Syahila.Kini duitnya hanya tinggal tiga puluh ringgit je lagi untuk dia meneruskan hidup selama 14 hari sebelum masuk gaji untuk bulan ini. Sedikit sebanyak, hal ini mengajar erti sebenar meneruskan hidup bagi pemuda bernama Azroy Suhairun ini.

“ Bodohnya aku. Yang aku belikan tudung sampai dua ratus ringgit kat Cikgu Syahila tu apahal? Mak aku pun tak pernah aku nak belikan hadiah hari jadi. Cinta konon. Last-last dia buat majlis hari lahir tak ajak pun aku. Cilakak. Tau la dulu belajar sekolah agama, tapi aku tau la macam mana nak tolak tu nanti. Kurang-kurang pun ajak la.”

Sudah dua hari dia memikirkan hal tudung hadiah hari jadi tersebut. Lebih-lebih lagi  bila dia tiba-tiba terlihat Cikgu Syahila memuat naik satu gambar majlis hari jadinya di laman Instagram, dia terus menyesal dan berasa telah membuat sesuatu yang bodoh dan menyalahi arus hidup seorang rokes. Iaitu membeli hadiah yang mahal kepada seorang perempuan padahal perempuan tu taknak pun ke dia.

Televisyen kecil tanpa astro yang dari tadi terpasang  di hadapan kerusi panjang itu tiba tiba memperlihatkan Dato’ Seri Perdana Menteri memberikan ucapan.

“Najib ni pun satu. Bodoh jugak!”

Dia pun bangun dari kerusi panjang seterusnya mendapatkan air dalam peti sejuk. Mungkin kerana marah, dia mula berasa dahaga. Lebih lebih lagi waktu petang yang terik sebegini.

4 ulasan:

  1. Entah le macam mana la nak dapat duit lebih ni
    ko ada idea ke macam mana nak dapat duit ni saudara? -Roy

    BalasPadam
  2. mohon sambungan..sambutan menggalakkan..-roy2

    BalasPadam
  3. sambutan diminta jugop-roy3

    BalasPadam