Rabu, 15 Mac 2017

Perjalanan ke Tanah Suci. Episod 2

Kami dijadualkan untuk berlepas dari Kuala Lumpur pada 1 hb Mac pukul lima pagi. Jadi, keputusan kami memilih penerbangan MAS pada pukul 7 malam 28hb Februari adalah keputusan yang paling tepat. Kalau hendak diikutkan, kami sepatatutnya perlu berkumpul di KLIA 2 sebelum berlepas ke Tanah Suci. Sedangkan kami memilih penerbagan MAS Airlines yang akan turun di KLIA. Bukankah itu menyumbang kepada buat dua kerja dan membazir masa?

Ya, kami telah mengira beberapa faktor yang menyokong dan yang tidak menyokong dalam pemilihan syarikat penerbangan kami. Kami lebih memilih MAS atas factor bagasi yang diberikan percuma. Bila dikira kira, kami fikir, memilih MAS Airlines lebih berbaloi selain nampak sedikit kaya berbanding naik Air Asia. Baru nampak eksyen sikit masa berjalan depan pegawai airport.
Pada 28hb itu, saya telah mengambil cuti. Pagi tu, saya sebenarnya ingat nak tidur. Tiba tiba abang ipar saya datang dan minta selesaikan dahulu urusan check in dan sebagainya. Leceh betul naik kapal terbang. Padahal saya nak naik pukul 7 petang karang. Tapi pagi pagi lagi dah kena pergi ke lapangan terbang. Dah la jauh. Banyak trafik light pula. Baik naik bas. Rilek je. Dulu saya ingat lagi masa duduk Kuantan dulu. Selamba je saya tak beli tiket. Lepas tu tahan satu bas ekspress yang nak ke Terengganu. Saya tanya abang cek tiket tu, ada kosong lagi tak? Stedi je abang tu cakap RM15. Saya kasi duit, terus tidur. Takde ada lah nak check check in bagai.

Geram juga saya. Tapi memandangkan saya bersikap menghormati orang yang lebih tua dan pada yang sama abang ipar saya dah berpengalaman dua kali pergi umrah, saya menurut sahaja. Jadi saya dan abang ipar sekeluarga menuju ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud. Manakala isteri saya di rumah menyelesaikan urusan memasukkan baju ke dalam beg.
Setibanya di lapangan terbang, terpinga pinga kami mencari kaunter MAS, tapi tak jumpa. Sehinggalah kami berjumpa satu mesin kecik paras pinggang yang mempunyai skrin sesentuh. Berbekalkan saya punya pengalaman lebih lima tahun menggunakan telefon skrin sesentuh,  saya tiada masalah mengendalikan mesin itu dengan baik sambil dibantu dengan asas Bahasa Inggeris yang cukup. Saya hanya mengikut arahan pada skrin mesin tersebut dari memasukkan nombor tempahan, memilih tempat duduk, sehinggalah dua keeping kertas keluar daripada mesin itu yang dipercayai sebagai Boarding Pass. Phew. Tak sangka semudah itu sahaja rupanya nak check in. Menyesal pula berdebar tempoh hari.
****
Petangnya pula, sejurus selepas Asar kami terus bersedia untuk bergerak ke lapangan terbang. Kami kena cepat memandangkan Jambatan Sultan Mahmud itu terlalu sukar untuk dijangkakan bila melewati waktu pejabat. Orang ramai akan berpusu-pusu menggunakan jambatan tersebut seterusnya memungkinkan kami akan tiba lewat di Lapangan Terbang. Saya pegang pesan Encik Bahktiar untuk dating selewat lewatnya sebelum 5.30 untuk urusan check in bagasi. Kalau tidak, kesemua beg beg itu perlu dibawa naik ke dalam pesawat. Nanti kang, tak manis pula bila bawak beg besar tivi tu lalu depan pramugari.

Semasa mendaftar dengan Andalusia, dia membekal tiga buah beg setiap seorang. Satu beg bertayar sebesar tivi, satu beg  dengan saiz lebih kecil  sebesar seguni beras yang juga mempunyai roda serta satu lagi beg kecil yang boleh memuatkan beg duit, telefon bimbit, ubat ubatan, buku panduan umrah, dan gunting. Ya, gunting untuk digunakan semasa umrah nanti.

Memandangkan beg beg itu berlambangkan Andalusia, kami berfikir pasti ramai lagi yang akan mempunya beg yang serupa. Tak nak bagi tertukar, satu kertas saiz A4 digunakan untuk menulis nama, alamat dan nombor telefon dan ditampal menggunakan salotape kain supaya cengkaman kertas itu pada setiap beg lebih kukuh dan tidak tercabut. Ditambah pula kertas A4 itu dibalut dengan plastik, kami yakin bahawa beg kami insyaallah selamat. Itu belum cerita lagi pada setiap beg itu, kami lilitkan riben supaya senang nak nampak nanti. Saya pun masa ni tak tahu lagi apa makna ‘senang nak nampak nanti’ tu? Beg besar tivi tu pun payah lagi ke nak nampak?

Oh ya. Beg banyak banyak, apa nak letak dalamnya? Saya sebenarnya pun tak pasti apa yang hendak dimuatkan ke dalam empat beg tersebut. Saya dulu empat tahun belajar dekat Kuantan bawak satu biji beg baju saja. Ini hendak pergi dua minggu je, beg besar  nak mampus. Untuk ke Tanah Suci ini, saya hanya bawa empat helai kain pelikat, empat helai baju Melayu, sedikit seluar dalam, dan dua pasang kain ihram. Manakala isteri saya pula membawa dua helai telekung sembahyang, empat helai kain dan empat helai baju blouse. Jika  dihimpunkan persalinan persalinan kami, sudah cukup untuk dimuatkan ke dalam satu beg besar beras atau lebih mesra dipanggil ‘hand luggage’ itu saja. Hand luggage itu pula kemudian dimasukkan ke dalam beg besar tivi pulak. Ia ibarat memasukkan beg ke dalam beg.

*****

Tolak dua beg sandang yang kami berdua galas, tinggal dua beg besar tivi saja yang diletakkan ke dalam bonet belakang Nissan Navara abang ipar saya. Petang itu tenang sahaja. Tak ada eksiden atas jambatan. Walaupun ada segelintir dua kereta yang memandu perlahan di atas lorong kanan abang ipar saya cekap memandu Nissan Navaranya. Berkat kecekapannya, kami tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud tepat pukul 5.17 petang. Waktu yang ideal untuk check in bagasi.
Untuk ke kaunter check in bagasi, terlebih dahulu kami diiminta untuk meletakkan beg kami ke atas landasan beg yang begerak sendiri ke dalam satu mesin. Ada seorang pegawai airport yang berpakaian seperti polis menunggu di atas kerusi sambil melihat satu skrin di sebelah mesin tersebut dan sambil kadang kadang bermain wassap. Setelah beg kami melalui mesin tersebut, satu sticker ditampal pada beg kami menandakan beg kami lulus untuk beratur ke kaunter check in bagasi.
Di kaunter check in bagasi, kami disambut oleh seorang kerani yang berwajah manis. Beg yang kami bawa tu pula kemudiannya diletakkan pula ke satu lagi landasan beg sebelah kaunter kerani itu. Cuma kali ini, bila beg beg itu diletakkan ke atas landasan tersebut, jumlah berat beg itu keluar pada satu skrin kecik di atas kaunter. Lega rasanya bila  beg kami tak mencecah had muatan yang dibenarkan. Selepas kerani berwajah manis itu melekatkan sticker panjang pada beg tersebut, beg tersebut bergerak sendiri dibawa arus landasan beg yang menuju entah ke mana mana. Segan pula saya nak tanya beg itu pergi ke mana. Pakcik sebelah saya rileeek je saya tengok. Takkan anak muda macam saya nak menggelabah pula? Tak rock la.

******

20 minit lagi hendak berlepas, satu pengumuman dikeluarkan untuk meminta penumpang pesawat seperti kami masuk ke balai berlepas. Sempat kami bersalaman dan mengambil gambar kenangan bersama ahli keluarga sebelum melangkah ke balai berlepas. Setibanya ke dalam balai berlepas, sekali lagi kami diminta meletakkan beg sandang kami pula ke atas landasan beg. Sementara kami pula diminta untuk melalu satu pintu gerbang plastic yang mempunyai lampu pada sisinya.

“tit tit tit”

Muka saya tiba tiba berubah. Gampa apa pula bunyi ni? Pegawai airport yang ada kat depan saya tanya. “Ada henfon ke?” Saya seluk saku dan cuba menghulurkan henfon kepadanya. Dia geleng kepala dan tunjukkan ke arah landasan beg tadi. Saya lagi keliru dan berdebar  tak tahu nak buat apa. Mujur pegawai yang duduk atas kerusi yang menjaga mesin landasan beg tersebut menyuruh saya meletakkan henfon ke atas landasan beg itu. Tak sangka saya. Belum naik kapal terbang lagi,sudah diuji dengan dugaan yang sebegini memalukan. Hilang selera  saya hendak berjalan macam Leonardo di Caprio sambil membetulkan tali leher.


Bersambung…

Selasa, 14 Mac 2017

Perjalanan ke Tanah Suci. Episod 1

Tinggal tiga hari lagi masa untuk kami berangkat ke Tanah Suci. Isteri saya cemas tak sudah kerana kami belum lagi dimaklumkan visa yang dipohon bagi pihak kami telah lulus atau tidak. Kami bimbang jika visa tidak lulus, takut mengalir air mata saja di lapangan kapal terbang. Jadi, Sabtu itu kami mengambil peluang untuk kembali ke pejabat Andalusia di Bangunan Perniagaan Paya Keladi. Senang cerita, tepi Nevandas.

Di samping mengetahui status visa kami, kami mengambil peluang untuk memantapkan lagi pengetahuan umrah kami setelah satu kursus umrah dan berbelas belas klip Youtube kami tonton. Bagi yang berminat untuk mengetahui selok belok umrah, setiap hari Sabtu, pihak Anadalusia mengadakan satu ceramah umrah dari pukul 8.30 pagi hingga pukul 12 tengahari.

Kebetulan pada hari itu, yang kasi ceramah ialah satu ustaz muda yang kakinya telah putus sebelah kerana kemalangan. Berbeza dengan ustaz yang telah saya hadiri dua minggu sebelum ini, ustaz kali ini lebih energetik penyampaiannya. Saya tak ingat sangat isi ceramahnya. Yang saya ingat pun kisah dia kemalangan, putus kaki dan koma selama beberapa bulan. Dia tambah lagi dengan bangga, walaupun kakinya telah putus, tapi dia masih mampu untuk membenihkan enam orang anak. Beliau berkongsi rahsia kepada audien yang beliau mampu mempunyai anak sebanyak itu kerana mengamalkan makjun orang kampung ubi jaga. Saya pun tak pasti apa kaitan umrah dengan ceritanya mengenai makjun tersebut. Tapi yang pasti saya kena tanya kawan kawan penguatkuasa farmasi terlebih dahulu adakah makjun yang ustaz itu bagitahu selamat ke tidak untuk dimakan. Setahu saya kebanyakan makjun mencampurkan Viagra (sildenafil) untuk menguatkan tenaga batin.
Alamak, macam jauh je cerita saya ni.

Berbalik kepada status visa kami, Alhamdulillah visa kami telah lulus dan kami selamat untuk terbang ke Arab Saudi. Brader Andalusia suara Fizz Fairuz ada bertanyakan saya bagaimana jalan kami untuk ke KLIA2 nanti? Kami sebenarnya  sebelum ini sudah memlih menggunakan pengangkutan udara untuk ke sana. Terima kasih kepada asas Bahasa Inggeris saya yang membantu kami untuk menempah tiket kapal terbang gaya atas talian. Walaupun mungkin kebanyakan orang sudah biasa membuat tempahan tiket kapal terbang, tapi jauh di sudut hati saya, saya sebenarnya tak sangka pencapaian saya mampu pergi ke setahap ini. Menempah tiket kapal terbang secara atas talian. Sesuatu yang tak pernah ada dalam kepala saya.

Cuma yang membuatkan saya cemas apabila brader Andalusia Fizz Fairus mula sebut tentang check in online, check in bagasi, boarding pass, dan sebagainya. Paling last saya naik kapal terbang ialah masa darjah lima, lima belas tahun yang lepas. Masa tu tak tahu benda. Jadi bila brader ni ungkit perkataan perkataan macam tu, ia sangat asing bagi saya. Saya menelan air liur beberapa kali. Saya ingatkan naik kapal terbang ni sama macam naik bas.

Saya tak nak  nampak slow sangat di hadapan isteri dan brader Andalusia tu, saya buat buat tenang seperti semua keadaan adalah terkawal. Mereka tidak tahu, di sebalik debaran itu, saya mula bertanyakan melalui perisian whatsapp kepada empat orang secara personal.  Hendak tanya dalam grup kan nampak saya ni kodi sangat. Segan juga saya. Kritik sistem itu, kritik sistem ini, bukan main eksyen lagi. Tapi nak naik kapal terbang pun tak reti.

Tiga daripadanya ialah rakan saya di UIA dulu. Zaiful Ashraf, Ayzat Jaafar dan Aliff Haikal. Saya bertanya kepada ketiga tiga orang ini kerana saya yakin mereka bertiga pernah naik kapal terbang selain mereka bertiga ini tidak kuat memtertawakan orang. Dalam situasi berdebar, saya tak suka jika ditertawakan orang. Malah, imej mereka bertiga yang memakai cermin mata menguatkan lagi firasat saya bahawa ketiga tiga orang ini adalah pilihan yang tepat.

Seorang lagi yang saya tanya ialah Encik Bakhtiar yang tiba tiba tanya soalan kepada saya mengenai stok ubat di farmasi klinik Marang. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, saya terus membalas dengan soalan kepada beliau mengenai cara cara menaiki kapal terbang. Encik Bakhtiar seorang yang berpengelaman luas selain dia sendiri pun baru sahaja pulang dari umrah beberapa bulan yang lepas. Keempat keempat orang itu saya bertanya dengan soalan yang sama dengan menggunakan teknik copy paste. “Salam maaf ganggu. Macam mana nak check in nak naik kapal terbang? Tolong weh, aku first time ni naik kapal terbang. Nak naik lusa ni. Apa perlu aku buat?”

Alhamdulillah. Kesemua empat empat rakan saya membalas dengan jawapan yang hampir sama. Boleh check in secara online mahupun menggunakan kiosk di lapangan terbang. Mereka turut menasihatkan untuk tiba di airport dua jam sebelum berlepas untuk urusan check in bagasi. Kini saya sudah separuh lega. Jalan jalanya mungkin saya boleh bayangkan sedikit. Cuma tunggu pelaksanaannya sahaja. Mampukah kami melestarikan tugasan ini?