Khamis, 27 November 2014

Memori UPSR Saya -2

(2002. Kampung Barat)

Setelah berminggu minggu main bola stoking dekat tempat semayang budak budak kelas petang, akhirnya keputusan UPSR muncul jua. Masa keputusan keluar tu, budak budak darjah enam semua berlari ke arah pejabat sekolah. Cikgu Syukri ke sapa entah dia tampal keputusan tu dekat pintu pejabat.

Saya waktu tu rilek rilek saja. Sebelum cikgu tampal keputusan tu, Cikgu Syukri dah bagitau yang sekolah saya masa tu sepuluh orang dapat 5A. Empat lelaki dan selebihnya perempuan. Bila sebut empat orang lelaki tu, kebarangakalian nama saya ada tu memang tinggi juga.  Lagipun, masa saya terserempak dengan Cikgu Syukri tu, dia dah ucap tahniah dekat saya. Dalam hati saya dah konfiden habis dah dapat 5A. Tapi masih ada juga sikit sikit debar.

Untuk melengkapkan konfiden saya, saya juga menuju ke pejabat. Bila kepala saya dongak ke pintu pejabat tu, tekaan saya tepat. Saya antara yang dapat 5A. Peh, masa tu gembira bukan kepalang. Saya pun naik tingkat atas sebelah perpustakaan ambik slip keputusan.

******

Cuti sekolah start dua hari kemudian. Sebab saya ni kental dan duduk asrama, masa tu baru saya balik rumah.  Bila keadaan dah tenang baju kotor semua dah punggah ke dalam besen, saya pun mulakan operasi saya. Operasi yang saya tunggu selama dua tahun.

Saya masuk ke bilik mak saya, saya tuju dekat satu meja. Masa tu saya tak ada bilik sendiri lagi. Almari baju pun dekat depan tivi. Itupun baju saya berkongsi dengan selimut, cadar dan sarung bantal. Dekat meja dalam bilik mak saya tu ada satu tempat untuk simpan barang. Dekat tu, saya simpan saya punya fail dan buku buku catatan penting. Contohnya buku log catatan liga bola sepak kertas kelas saya. Selain dari fail dan buku buku catatan, tersimpan satu tabung duit KFC.

Tabung KFC tu, saya simpan duit saya hari hari dari darjah lima lagi. Masa orang sedap sedap makan jeruk mempelan kedai Kak Zan lepas habis sekolah, saya bersabar saja. Masa ada van nutrigen datang sekolah pun saya tak beli juga. Bila pandang ada budak yang  minum teguk sambil kepala dongak langit, telan air liur jangan cakap la. Nak jimat duit punya pasal, saya rela menahan sabar. Tujuannya satu saja. Saya nak beli playstation. Masa tu, abang kepada Huda duduk Tanjung Belur, ada nak jual playstation dia. Bagai pucuk dicita juga. Dia nak jual RM200.

Mak saya adalah dalang utama yang menghalang saya untuk dapatkan playstation. Dia memang tentang habis habisan. Lebih lebih lagi ada kakak saya bagitau dia playstation ni boleh merosakkan tivi. Bila dah dapat 5A UPSR ni, saya kira ia boleh melembutkan hati mak saya. Saya rasa dia boleh kawtim kot. Lagipun nak beli ni, bukan pakai duit dia. Duit saya sendiri jugak.

Saya cabut tudung tabung KFC tu, saya keluarkan duit. Saya kira satu persatu secara senyap senyap. Banyaknya duit syiling dan duit seringgit. Saya kira hingga cukup dua ratus. Kalau saya mampu milik playstation ni, saya lah orang Kampung Barat pertama memilik playsation. Angan angan saya jadi makin panjang. Saya terbayang saya tengah main game bola depan tivi dengan Piudin dan rakan rakan lain. Piudin tak dapat 5A. Ada juga kawan kawan saya yang lain, nak eja playstation pun tak berapa pandai. Sekurang-kurangnya 5A saya ni dapat juga memberi kebaikan kepada kawan kawan saya yang lain.

Bila selesai kira, saya ambik beg plastik dan bungkus duit yang dah cukup dua ratus. Yang lebih sikit sikit tu saya masukkan semula dalam tabung KFC dan simpan dalam meja. Beg plastik tu, saya gulung dengan kemas dan masukkan dalam poket. Saya keluar bilik dengan satu keyakinan yang tinggi. Keyakinan yang dibina selama dua tahun.

Bila saya keluar rumah dan menuju ke garaj motor, mak saya yang masa tu duduk dekat dapur tegur saya. “Nok gi ke mana tu?”

Saya jawab selamba, “Pergi beli playstation.”

Mak saya suruh saya masuk rumah semula. Mak saya marah kaw kaw. Kakak saya yang kerja cikgu pun ada juga masa tu. Dia pun marah saya kaw kaw. Saya hanya mengalirkan air mata. Hari tu saya sedar, kegembiraan 5A UPSR sebenarnya tak kekal lama. Dunia ini hanyalah palsu semata mata.

Sekian.


3 ulasan: