Jumaat, 25 Julai 2014

Kampung Barat Tranquillity


Sempena bulan puasa ni, semalam kampung saya punya masjid ada buat majlis namat. Korang tak tahu kot ‘namat’ tu macam mana. Korang bangun tidur pun tengah hari, macam mana nak luas pengetahuan am? Risau jugak saya. Entah macam la korang nanti nak lawan Zionis. Namat ni majlis berbuka puasa sempena jemaah masjid dah khatam dah quran tadarus sepanjang bulan puasa.  Sekarang turn jemaah masjid saya pulak yang khatam. Untuk meraikannya, orang orang dari kampung sekitar akan dijemput berbuka di masjid kampung saya.

Jadi, untuk memastikan majlis ini berjalan dengan sempurna demi mengelak malu dekat orang kampung lain, penduduk-penduduk kampung saya bersatu teguh untuk memilih gulai kerbau sebagai menu yang core. Yang kerja menoreh, yang kutip kelapa sawit, yang kerja jaga, yang cari madu, yang buat rumah, yang meniaga timun cina, yang bertanam sayur, yang buka kedai runcit, yang bawak lori, yang kontraktor, yang pera lembu, yang hendel kenaf, yang ada traktor, yang mesin rumput, dan yang memang tak ada kerja semuanya cuti pagi semalam. Semua tumpu kepada gerak kerja menjayakan majlis ni. Masing masing diagihkan tugas mengikut kepakaran dan kehandalan yang ada. Yang sembelih sembelihlah, yang lapah kulit lapah kulitlah, yang potong daging potong daging, yang kerat tulang kerat tulang, yang belah kepala belah kepala, yang bawak kereta tolak bawak kereta tolak, kecuali yang berborak je tak boleh hisap rokok. Sebab puasa. Masing masing mampu menjalankan tugas dengan penuh cekap dan efisien.

Begitu juga di sebelah kem perempuan. Mereka juga tidak mahu ketinggalan untuk meletakkan nama mereka sebagai penyumbang kepada masjlis ini. Pun ada skop kerja masing masing. Yang potong bawang potong bawang lah, yang menumis menumislah, yang parut kelapa parut kelapa, yang goreng ayam goreng ayam, yang hendel kerabu perut hendel kerabu perut, yang basuh daging basuh daging, yang kacau air gula kacau air gula, yang cari daun pandan cari daun pandan dan pelbagai lagi kerja yang sesuai. Cuma tak pastilah pulak sama ada ramadhan ini mampu ke tidak menghalang diorang untuk bercakap buruk terhadap orang lain.

Tapi begitulah. Masing masing fokus dengan tugas yang dipertanggungjawabkan. Tenang sahaja. Tak ada pun yang berbalah tak puas hati dengan hasil kerja orang lain. Kalau ada yang salah sikit sikit, tunjuk ajar akan diberi. Tak ada lah kalau member sendiri silap sikit masa potong daging tu, dia nak pergi ambik isteri untuk menggantikan tugas memotong daging. Tak ada langsung kes kes macam tu. Kami bekerja dengan penuh harmoni, tanggungjawab dan ikhlas. Kamera yang bertalipun mahupun yang tidak bertalipun langsung tidak kelihatan. Internet pula jauh kami tinggalkan. Fokus kami hanya satu. Jangan malukan kampung. Majlis namat kampung kita mestilah yang paling power!

Manakala kanak kanak pula riang bermain di kawasan sekitar. Yang berlari, yang drive basikal, yang membawa motor, yang bergurau senda, yang tersengih, yang tak pakai baju semuanya begitu riang sekali. Mereka meraikan penganjuran temasya ini dengan penuh kegembiraan dan peluh. Pada riak wajah mereka, tak ada langsung  perasaan berdosa tidak pergi sekolah.


Begitulah ceritanya di kampung saya yang serba indah dan permai ini. Entah entah dalam Asia ni, kampung saya la yang paling power. Kan?

1 ulasan:

  1. Assalamualaikum, Eid Mubarak bro..

    Kot ni la ucapan deh special sikit, walau jarang2 bukak blog mu.

    BalasPadam