Semasa menuntut ilmu di Petaling Jaya lebih kurang lima
tahun lalu, duit masa tu tak ada sangat. Duit harap ke ehsan kerajaan je.
Kerajaan pulak berkira tak patut nak kasi duit belanja. Lebih kurang dalam
seribu ringgit saja untuk belanja saya empat bulan duduk dekat situ. Duit itu
lah nak buat makan, duit itu lah nak buat tambang bas pergi mid valley, duit
itu juga nak tengok wayang, nak pergi makan KFC sebelah Kolej Mahsa tu, dan
duit itu jugalah nak buat yuran untuk masuk kejohanan futsal. Mana cukup. Itu
belum kira lagi kalau tiba tiba hujung minggu nak kena sewa kereta Kancil nak
pergi berjalan kat uptown.
Jadi, masa ramadhan inilah masa untuk saya berjimat cermat
supaya duit yang disalurkan kerajaan itu cukup untuk menampung hidup saya di kota yang penuh
ranjau ini. Masjid Kolej Islam sebelah asrama saya tinggal tu, kebetulan bila
bulan puasa hari hari buat jamuan berbuka secara percuma. Saya mengambil
peluang ini dengan cekap dan penuh berkesan.
Nak berbuka dekat Masjid ni kena tangkas dan pandai menghidu
peluang. Persaingan yang ada begitu sengit. Selain dari saya ada kira kira
seribu orang lagi yang mempunyai nasib dan matlamat yang tak jauh beza dengan
saya. Termasuk juga rakan rakan seperjuangan saya dari Terengganu. Kalau lambat
datang sikit, terpaksalah patah balik masuk asrama dan beli lauk sendiri
sendiri seterusnya mencacatkan perancangan kewangan yang telah dirancang.
Tapi orang yang ada sen lebih sikit macam Danial dan Syeikh
Aizuddin susah betul tengok berbuka dekat masjid. Entah mana mana diorang ni
berbuka puasa. Kadang-kadang KFC. Kadang- kadang sampai ke Midvalley tempat
diorang berbuka puasa. Handal betul.
Saya berbuka kat Midvalley ni sekali saja. Itu pun sebab terlepas bas.
Berbuka pun makan roti perisa vanilla je. Air seratus (100 plus) pun minum
kongsi kongsi.
Untuk yang tak ada sen macam saya, pukul 6.30 petang lagi
kami semua dah standby untuk pergi ke Masjid Kolej Islam ambik tempat yang terhad. Kadang kadang ada
juga kami hantar orang dulu untuk siasat makan apa kat masjid. Kalau lauk yang
best best , kami akan turun laju sikit. Kalau jenis lauk gulai ikan tu, kami
turun lambat lambat sikit. Kadang kadang kalau rasa eksyen, tak turun langsung.
Kurang ajar gila. Nak makan yang ayam ayam je. Sikap masyarakat kita macam ni
lah menyebabkan kadar obesiti di Negara kita makin tahun makin meningkat.
Bila sampai kat masjid, yang akan pantau dan jadi floor
manager ialah satu abang rock yang selalu pakai baju Metallica dan XPDC. Dia
yang akan susun siapa duduk sini siapa duduk situ. Kat mana dulu yang nak kena
penuh. Kat mana tak boleh duduk dan pelbagai arahan lagi yang sesuai. Semua arahan tu dia pakai sekali sound je
dengan dia punya suara garau. Kami yang
budak budak ni mana ada berani nak melawan. Tengok badan saja dah takut. Ada
juga yang cakap cakap, dari segi potongan badan dan pemakaian snowcap
bertemakan reggae tu, abang ni ahli persatuan tiga line.
Bila dah standby dengan tempat duduk masing masing, kami
kena ikut pula tok imam baca tahlil. Sebagai anak muda yang berjiwa keras dan
suka berkongsi idea, part ni yang paling tak best. Hendak berborak tak boleh,
hendak bermain telefon pun tak boleh juga. Kalau ada orang yang eksyen bermain
telefon kononnya nak tanya makwe berbuka makan apa, abang rock tadi akan sound.
Ada juga time abang rock tu akan rampas je telefon tu kalau dia nampak. Peh,
terkebil kebil mata brader yang duduk depan saya masa tu. Barangkali Sony
Erickson model terbaharu yang kena rampas tu. Mana mata tak berair. Duit
kerajaan bagi dah separuh guna buat beli henfon baru. Nak tak nak, jiwa muda
ini kena tahan juga baca tahlil sementara tunggu waktu berbuka tiba. Bila time
time nak berbuka hampir tiba, imam akan baca doa tahlil sebut nama sapa yang
sedekah makanan tu. Tapi itulah. Untung berbuka di masjid ni. Makanan dapat,
pahala pun dapat sekali.
Bila habis berbuka, terus kami solat magrib dekat masjid tu.
Ada juga yang perangai bila habis
berbuka terus chow entah ke mana. Kadang kadang ada lauk lebih lepas berbuka
tu. Masa tu lah kami semua akan sedaya upaya memastikan nasik lauk yang lebih
itu akan jadi milik kita. Sebab tu masa nak pilih tempat tadi, kena rancang
betul betul supaya dapat duduk dekat dengan bungkusan nasik yang lebih. Nanti
boleh buat sahur sekali. Gila tak jimat. Satu hari satu sen pun tak payah
keluar duit kalau dapat kat kita nasik lebih tu. Bila dah dapat, nasik lebih tu
kita akan cop dan sorok belakang tiang supaya tak hilang masa semayang maghrib
nanti. Rezeki ni milik Tuhan. Yang dah sorok belakang tiang pun ada juga yang
nak tibai.
Begitulah kehidupan ramadhan saya di Petaling Jaya lima
tahun yang sudah. Sehinggalah suatu hari tu lauk ikan menjadi hidangan berbuka
puasa itu petang. Masa tu orang tak ramai yang turun. Mentang mentang la lauk
ikan, masing masing eksyen. Jadi, lauk yang lebih tu bukan main banyak. Amboi,
sampai empat bungkus saya buat balik untuk kawan kawan saya yang tak datang.
Bersahur saya malam tu pekena nasik lauk ikan. Ikan pun ikan lah, janji tak
payah keluar sen.
Besoknya lepas Subuh, saya bertarung panjang dengan cirit
birit.
dh baik cirit birit?
BalasPadam