Rabu, 23 Julai 2014

Blues Ramadhan Petaling Jaya.



Semasa menuntut ilmu di Petaling Jaya lebih kurang lima tahun lalu, duit masa tu tak ada sangat. Duit harap ke ehsan kerajaan je. Kerajaan pulak berkira tak patut nak kasi duit belanja. Lebih kurang dalam seribu ringgit saja untuk belanja saya empat bulan duduk dekat situ. Duit itu lah nak buat makan, duit itu lah nak buat tambang bas pergi mid valley, duit itu juga nak tengok wayang, nak pergi makan KFC sebelah Kolej Mahsa tu, dan duit itu jugalah nak buat yuran untuk masuk kejohanan futsal. Mana cukup. Itu belum kira lagi kalau tiba tiba hujung minggu nak kena sewa kereta Kancil nak pergi berjalan kat uptown.

Jadi, masa ramadhan inilah masa untuk saya berjimat cermat supaya duit yang disalurkan kerajaan itu cukup  untuk menampung hidup saya di kota yang penuh ranjau ini. Masjid Kolej Islam sebelah asrama saya tinggal tu, kebetulan bila bulan puasa hari hari buat jamuan berbuka secara percuma. Saya mengambil peluang ini dengan cekap dan penuh berkesan.

Nak berbuka dekat Masjid ni kena tangkas dan pandai menghidu peluang. Persaingan yang ada begitu sengit. Selain dari saya ada kira kira seribu orang lagi yang mempunyai nasib dan matlamat yang tak jauh beza dengan saya. Termasuk juga rakan rakan seperjuangan saya dari Terengganu. Kalau lambat datang sikit, terpaksalah patah balik masuk asrama dan beli lauk sendiri sendiri seterusnya mencacatkan perancangan kewangan yang telah dirancang.

Tapi orang yang ada sen lebih sikit macam Danial dan Syeikh Aizuddin susah betul tengok berbuka dekat masjid. Entah mana mana diorang ni berbuka puasa. Kadang-kadang KFC. Kadang- kadang sampai ke Midvalley tempat diorang berbuka puasa. Handal betul.  Saya berbuka kat Midvalley ni sekali saja. Itu pun sebab terlepas bas. Berbuka pun makan roti perisa vanilla je. Air seratus (100 plus) pun minum kongsi kongsi.

Untuk yang tak ada sen macam saya, pukul 6.30 petang lagi kami semua dah standby untuk pergi ke Masjid Kolej Islam  ambik tempat yang terhad. Kadang kadang ada juga kami hantar orang dulu untuk siasat makan apa kat masjid. Kalau lauk yang best best , kami akan turun laju sikit. Kalau jenis lauk gulai ikan tu, kami turun lambat lambat sikit. Kadang kadang kalau rasa eksyen, tak turun langsung. Kurang ajar gila. Nak makan yang ayam ayam je. Sikap masyarakat kita macam ni lah menyebabkan kadar obesiti di Negara kita makin tahun makin meningkat.

Bila sampai kat masjid, yang akan pantau dan jadi floor manager ialah satu abang rock yang selalu pakai baju Metallica dan XPDC. Dia yang akan susun siapa duduk sini siapa duduk situ. Kat mana dulu yang nak kena penuh. Kat mana tak boleh duduk dan pelbagai arahan lagi yang sesuai.  Semua arahan tu dia pakai sekali sound je dengan dia punya suara garau.  Kami yang budak budak ni mana ada berani nak melawan. Tengok badan saja dah takut. Ada juga yang cakap cakap, dari segi potongan badan dan pemakaian snowcap bertemakan reggae tu, abang ni ahli persatuan tiga line.

Bila dah standby dengan tempat duduk masing masing, kami kena ikut pula tok imam baca tahlil. Sebagai anak muda yang berjiwa keras dan suka berkongsi idea, part ni yang paling tak best. Hendak berborak tak boleh, hendak bermain telefon pun tak boleh juga. Kalau ada orang yang eksyen bermain telefon kononnya nak tanya makwe berbuka makan apa, abang rock tadi akan sound. Ada juga time abang rock tu akan rampas je telefon tu kalau dia nampak. Peh, terkebil kebil mata brader yang duduk depan saya masa tu. Barangkali Sony Erickson model terbaharu yang kena rampas tu. Mana mata tak berair. Duit kerajaan bagi dah separuh guna buat beli henfon baru. Nak tak nak, jiwa muda ini kena tahan juga baca tahlil sementara tunggu waktu berbuka tiba. Bila time time nak berbuka hampir tiba, imam akan baca doa tahlil sebut nama sapa yang sedekah makanan tu. Tapi itulah. Untung berbuka di masjid ni. Makanan dapat, pahala pun dapat sekali. 

Bila habis berbuka, terus kami solat magrib dekat masjid tu. Ada juga yang perangai  bila habis berbuka terus chow entah ke mana. Kadang kadang ada lauk lebih lepas berbuka tu. Masa tu lah kami semua akan sedaya upaya memastikan nasik lauk yang lebih itu akan jadi milik kita. Sebab tu masa nak pilih tempat tadi, kena rancang betul betul supaya dapat duduk dekat dengan bungkusan nasik yang lebih. Nanti boleh buat sahur sekali. Gila tak jimat. Satu hari satu sen pun tak payah keluar duit kalau dapat kat kita nasik lebih tu. Bila dah dapat, nasik lebih tu kita akan cop dan sorok belakang tiang supaya tak hilang masa semayang maghrib nanti. Rezeki ni milik Tuhan. Yang dah sorok belakang tiang pun ada juga yang nak tibai.

Begitulah kehidupan ramadhan saya di Petaling Jaya lima tahun yang sudah. Sehinggalah suatu hari tu lauk ikan menjadi hidangan berbuka puasa itu petang. Masa tu orang tak ramai yang turun. Mentang mentang la lauk ikan, masing masing eksyen. Jadi, lauk yang lebih tu bukan main banyak. Amboi, sampai empat bungkus saya buat balik untuk kawan kawan saya yang tak datang. Bersahur saya malam tu pekena nasik lauk ikan. Ikan pun ikan lah, janji tak payah keluar sen.

Besoknya lepas Subuh, saya bertarung panjang dengan cirit birit.

1 ulasan: