Khamis, 31 Mei 2012

Penyatuan Bangsa

Adapun suatu masa dahulu di Norway, terdapat pelbagai bangsa di dalamnya. Ada bangsa Jerman, Roman, Greek, Afrika, Balkan, Himalaya, Caucasus, dan Basque. Namun, bangsa-bangsa ini hanyalah minoriti jika hendak dibandingkan dengan bangsa Viking yang memonopoli dari segenap aspek Norway dari ketua negara hingga ke budak-budak main kuda ke hulu ke hilir bonceng makwe dengan masa depan yang kelam.

Kerana kepelbagaian bangsa ini, mereka tidak dapat hidup dengan aman. Mereka masing-masing berbalah dengan cara masing-masing dan kelihatan sukar untuk bersatu padu. Yang jenis berlawan kuda, akan berlawan kuda, yang jenis main parang, akan berlawan parang, yang jenis berlawan nombor plet kereta kuda, akan berlawan nombor plet kereta kuda dan tidak ketinggalan juga yang jenis berlawan burung tekukur.

Hidup mereka sangat tidak aman sehinggakan aktiviti-aktiviti masyarakat jadi kucar kacir. Anak-anak kecil tak dapat lagi bermain pasir di luar rumah dengan tenang. Malah, sebagai langkah berjaga-jaga, lepas magrib di Norway dikenakan perintah berkurung. Maka ekonomi di Norway menjadi kucar kacir jugak, lebih lebih lagi ekonomi bagi penggiat industri kelas tuisyen dan pasar malam.

Hendak dijadikan cerita, di hujung Norway sana di negeri Stavanger, tertubuhlah satu kumpulan Rock yang diberi nama Serah. Kumpulan Serah dianggotai lima anak muda berbangsa Viking dari Stavanger diketuai oleh seorang lelaki berambut panjang yang sangat sedap dan tinggi suaranya iaitu Adi Serah.

Walaupun semua anggotanya berambut panjang, gaya mereka bermain rock sangat kemas dan digemari orang ramai. Lagu-lagu yang mereka mainkan sangat kena dengan selera orang-orang di Norway pada ketika itu.

Lama-kelamaan, dari Stavanger, mereka terus popular hingga ke seluruh pelosok Norway. Album pertama mereka, Cinta Buatan Norway sangat mendapat sambutan oleh orang-orang Norway. Lebih-lebih lagi anak-anak muda Norway yang sangat menggemari irama rock yang dimainkan.

Ketika itu, kumpulan Serah muda menjadi fenomena. Anak-anak muda masing-masing mengikut budaya rock yang dibawa oleh Serah. Cakap sahaja, di kampung mana, di kompleks beli belah mana, mesti ramai anak-anak muda berdressing singlet, berseluar ketat, berkasut sukan potongan tinggi serta berambut panjang.

Kerana tertubuhnya kumpulan Serah ini dan lagu-lagu sedap yang dimainkan, rakyat-rakyat di Norway kelihatan bersatu. Baik bangsa Basque, Balkan, Greek, Jerman, mahupun Viking, masing-masing memberikan sokongan padu kepada kumpulan Serah. Di konsert konsert funfair atau besar, mereka seperti berbaik-baik dan lupakan persengketaan mereka yang lampau. Lagu-lagu yang Serah mainkan seperti Balada Pemuzik Setinggan, Cinta Buatan Norway, atau Isi atau Butir dapat dinyanyikan bersama-sama oleh semua ahli-ahli konsert dengan penuh bersemangat dan berhantuk kepala tanpa mengira kaum.

Kumpulan Serah adalah ikon penyatuan Norway pada ketika itu. Siapa sangka irama rock yang dibawa oleh Serah mampu menambat hati semua kaum dan lapisan masyarakat di Norway. Siapa tidak kenal Serah? Mereka cukup popular. Orang pejabat, pekerja warung, mekanik, peladang, penganggur, anak-anak sekolah hingga ke makcik jual goreng pisang sekalipun pasti akan mengenal dan menghafal lagu lagu kumpulan Serah. Lagu berhantu mereka yang diilhamkan dari nama seorang wanita, iaitu Zaiton adalah lagu yang tak ada orang tak hafal. Lagu Zaiton terlalu profilik dan tinggi nilainya sehingga diangkat sebagai lagu kedua di Norway selepas lagu kebangsaan Norway, Ja, vi elsker dette landet. Malah, bila lagu Zaiton dimainkan di corong radio seperti di dalam bas misalnya, jika ada yang tak dapat ikut dengan tepat lagu tersebut, pasti dia dipandang sebagai mat belia. Pada zaman itu, dipandang sebagai mat belia adalah suatu yang sangat hina.


Adi Serah di atas pentas



Kumpulan Serah terus berjuang dengan muzik rock nya walaupun bercambah genre-genre muzik lain setelah itu, New Balls sebagai contoh. Namun selepas 30 tahun, kumpulan Serah dengan muzik rocknya masih lagi menjadi simbol perpaduan seluruh rakyat berbilang bangsa di Norway. Tetapi lewat ini, tanda-tanda perpecahan rakyat Norway seperti timbul semula. Hal ini disebabkan terdapat satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka UVNO (United Viking Nasioanalist Organisation) yang kini sedang memegang tampuk pemerintahan Norway. Namun, kumpulan itu semakin dibenci oleh rakyat-rakyat Norway kerana penyelewengan, rasuah, dan penindasan kepada rakyat dengan harga barang yang tinggi yang terus menerus oleh pimpinan-pimpinan dan para ahli kumpulan tersebut.

Menyedari mereka semakin tidak digemari rakyat, mereka menjalankan taktik-taktik kotor untuk terus mendapatkan kuasa di Norway. Mereka serang ceramah-ceramah awam kumpulan yang menentang mereka, mereka sekat perhimpunan awam, serta mereka mengugut siapa sahaja yang menentang mereka. Lebih parah lagi, mereka cuba meracuni rakyat Norway untuk terus menyokong mereka dengan sentimen-sentimen perkauman dan mengagungkan bangsa Viking sehingga menindas bangsa-bangsa lain.

Hendak dijadikan cerita, baru baru ini pada bulan Mei tahun 1523, Adi Serah iaitu vokalis kumpulan lagenda rock Serah telah bersetuju dan menyerahkan borang untuk mendaftar sebagai ahli kumpulan UVNO kerana baginya UVNO sahajalah yang boleh menyatukan bangsa Viking. Maka, sia-sialah perjuangan 30 tahun Adi Serah selama ini.

Sekian.

p/s-Al fatihah kepada bapa saudara saya dan seluruh masyarakat di dunia. Bapa saudara saya yang tinggal di Negeri Sembilan telah kembali ke Rahmatullah pada hari Isnin yang lepas.




2 ulasan: