Isnin, 3 Mei 2010

Pagi seorang rokes

Selesai solat subuh, tiba-tiba keadaan sekeliling gua menjadi gelap. Lampu dekat ruang tamu, lampu dalam bilik gua, lampu dekat ruang tamu satu lagi, lampu dekoder astro, lampu dekat dapur, lampu dekat plug, lampu dekat rumah Mokcik Non, dekat rumah Moksu Teh, dekat rumah Tok Mok su semua terpadam. Mengikut pengalaman gua yang sudah, orang-orang kampung gua bersepakat untuk memanggil kedaan sebegini sebagai ‘takdok api’. Keadaan takdok api tidaklah pelik di kampung gua, cuma yang peliknya, bila dialih ke bahasa yang lebih bandar, ia dipanggil ‘blekaut’, tak pulak mereka nak panggil tiada api. Gua harap pihak Dewan Bahasa dan Pustaka perlu mula ambil cakna hal-hal sebegini.

Gua menggaggahkan diri ke sofa dekat ruang tamu satu lagi, untuk mengambil feel pagi. Disitulah tempat mak gua mengaji dan keluarga gua berkumpul dalam memilih menu sarapan, samada masakan mak gua, atau gua kena pergi beli nasik minyak lauk ayam dada. Tapi selalu-selalunya ayah gua je yang ambik tender sarapan pagi, kedai Ngoh Din. Gua menyandarkan badan gua ke sofa sambil memandang ke atas. Keadaan masih gelap dalam kedinginan pagi. Gua menggeliat orang muda.

Tiba-tiba mak gua muncul dari bilik kamarnya dengan membawa lampu gasoline pakai bateri. “ Ni ayoh beli ni, kat Rusila..,” sambil diangkat-diangkat sedikit lampu di tangannya. Gua cuma mengangguk-angguk, entah mak gua nampak ke tidak.

Gua memerhatikan mak gua membelek-belek al-Quran gergasi di depannya. Betul, memang al-Quran gergasi. Biasa-biasa mak gua pun tak larat nak angkat sendiri-sendiri. Mesti gua punya kena angkat. Itupun kalu gua ada air semayang, kalu takde memang mak gua kasi tinggal je atas meja kopi depan sofa tu.Di hadapan al-Quran pulak mak gua letakkan lampu gasoline tadi. Sambil mak mengaji, gua cuba belek-belek lampu gasoline. “Hmm.., ada kelas!,” hati gua memuji. Gua tidak turut sama mengaji. Lampu yang terang-terang pun gua susah, inikan pulak pakai lampu besar tapak tangan. Gua mula pulang ke bilik gua.

Sebagai remaja 20 tahun, gua lebih memilih untuk tidur jika ‘takdok api’. Dan jika ada api, gua pulak akan memilih untuk tidur sambil kipas terpasang. Masa gua menjadi ahli aktif persatuan kanak-kanak dulu, kalau gua tak boleh pekena Popeye pada hari cuti, gua akan pergi tengok batang kail umpan katak kat parit belakang rumah gua. Masa tu tuan parit entah sapa nama, tak tanam lagi kelapa sawit, maka mudahlah bagi gua dan Pok Yah untuk melompat dari parit ke parit mencari kawasan air yang paling gelap. Kata rakan-rakan gua, kawasan sebegitu biasanya banyak ikan. Tapi selama gua menjadi ahli aktif persatuan ni, tak pernah lagi gua dapat tengok pelampung selipar batang kail gua tenggelam.Asyik-asyik umpan katak nak kena tukar. Tapi kadang-kadang Kalau keadaan terdesak sangat, ada jugak gua pakai cacing. Kata Zambri, merangkap pengerusi persatuan, “Cacing ni, payoh sikit nok buleh..”.

Berbalik kepada soal tidur, keadaan sekeliling gua menjadi lebih gelap.

Tiba-tiba ayah gua kejutkan gua dari tidur. Ayah gua membawa balik dua bungkus nasi minyak sebagai sarapan. Kopi radix juga telah disiapkan oleh mak gua. Kami bersarapan sambil dibantu oleh sedikit cahaya matahari yang masuk ke ruang dapur. Agak dingin adegan sarapan pada pagi ini.

Walaupun hari ini ialah hari off day akibat ayah gua ada kursus di Kuala Terengganu, selesai bersarapan gua tidak tidur dulu kerana takutkan gemuk di samping takutkan mak gua.Gua mengambil keputusan untuk mandi. Selepas mandi, gua dapati elektrik masih tiada. Gua dapat merasakan yang gua tidak dapat meneruskan master league gua pada pagi ini. Gua nak berjalan ke Pengkalan Berangan, gua takut gua tidak bersemangat. Gua dengar, dekat Pengkalan Berangan pun takdok api. Gua pun mundar-mandir di dalam rumah.

Di penjuru lain gua terpandang bahan-bahan masakan anak sedara gua. Masuk umur darjah satu, gua dah tak begitu masuk lagi nak main masak-masak. Bukanlah maksud gua sebelum-sebelum tu gua aktif dalam bidang masakan. Cuma kalau Pipah dan rakan-rakan memasak, gua ada jugak kena jemput makan cekodok pasir. Jadi, kalau gua buat comeback pada umur universiti ni, gua takut macam tak kena dengan jiwa pulak. Cuma kadang-kadang je gua menjadi pembeli aiskrim dan nasi kerabu anak sedara gua. Cumanya nak makan gua kena pakai niat la..

Gua meneruskan mundar-mandir gua. Peluh orang muda dah mula tumbuh atas belakang gua. Hal-hal sebegini la boleh buat gua rasa nak tendang pintu, terajang almari, patahkan kerusi dan makan air batu cendol. Tanpa disedari, masa langkah gua dalam lapan langkah setengah lagi nak sampai ke dapur, hati gua tiba-tiba tersentuh untuk mencapai sebuah buku bersaiz novel di atas rak dekat ruang tamu. Tangan gua pun tanpa berlengah mencapai buku berwarna biru tersebut. Mata gua tajam tengok kulit buku tersebut. Memang tak salah, dekat kulit buku tu, ada tulis, “ Apa Ertinya Saya Memeluk Islam”.

Hati gua tiba-tiba menjadi sejuk...

Bersambung...

5 ulasan:

  1. apa pasal bila letak dalam blog jadi panjang merepek?

    gua sendiri tengok pun rasa malas nak baca!

    BalasPadam
  2. xpe,peminat setia bace.hahaha

    BalasPadam
  3. jln2 n follow ur blog..
    hit me back k..

    BalasPadam
  4. patut lu nak buat sambungan buat sikit2...baru praktikal..


    tapi gua baca gak

    BalasPadam
  5. Sape yang baca, gua kasi empat bintang! lu orang memang rokes!

    Bukan apa Cikgu Firol. Gua tengok dalam word, pendek je. Tapi bila kasi jadi entri, ya Rabbi dia punya panjang. Gua nak ejas balik takut gua jadi malas pulak.!

    BalasPadam