2008, Petaling Jaya
Tak lama dulu, sebelum Facebook serta rakan rakan mendapat tempat di hati masyarakat dan dosa
fitnah berleluasa, orang saling menghulurkan ucapan menggunakan khidmat pesanan
ringkas (SMS). Sebagai contoh, kawan saya pernah hantar khidmat pesanan ringkas
mengucapkan selamat merdeka kepada saya. Saya pun tak paham entah apa tujuan
dia hantar selamat merdeka. Lagi pula, kita sampai sekarang tak sudah sudah
dibelenggu UMNO dan Astro.
Tahun 2008, mungkin tak banyak tahun lagi untuk menuju wawasan
2020, orang muda masing masing sudah memiliki henset sendiri. Masa tu, saya dah
berlabuh ke Petaling Jaya untuk menimba ilmu. Kebetulan pula tak dan lama saya
di situ, Ramadhan pun tiba. Jadi, saya menjangkakan henset monophonic saya
berpusu pusu masuk khidmat pesanan ringkas sempena Ramadhan ini. Merdeka pun
orang SMS, Ramadhan apatah lagi.
Jadi, malam sebelum besok berpuasa, saya turut mengikut trend
semasa pergi ke masjid nak pekena terawikh. Amboi, orang Petaling Jaya suka
benar Terawikh, sampai ke belakang orang sembahyang. Macam biasa, sebelum scene
terawikh masuk, kami ramai ramai layan isyak dulu.
Kerana keperluan teknologi yang semakin meningkat, orang kemana
mana pun bawak henset sekali. Saya pun tak terlepas daripada sumpahan teknologi
tersebut. Entah, orang kata nanti senang kalu nak save nombor kalau tiba tiba
terjumpa makwe. Tapi saya bawak henset buat main game ular je.
Sebab saya rock, saya masa tu pakai tshirt dan kain pelekat saja,
tak ada poket nak letak gadjet. Pereka fesyen kita pulak sibuk dengan K-Pop,
bukan nak pikir macam mana nak letak poket kat kain pelikat. Saya tak fikir letak
henset celah pinggang selit dengan kain pelikat adalah satu keputusan yang
sesuai. Nanti tak selesa pulak nak semayang nanti. Dari tak selesa itulah
lahirnya tak khusyuk dan rasa nak marah kat imam kalau baca surah panjang. Maka, saya
punya henset tu sekali dengan dompet, saya letak dekat depan kaki bawah sikit
dari tempat sujud. Jadinya, sambil saya semayang, saya boleh awasi henset dan
dompet saya juga.
Tiba tiba rakaat kedua isyak, saya perasan henset saya bergetar
dan nyala tanda ada khimat pesanan ringkas masuk. Kita boleh bezakan antara
getar SMS atau getar ada orang telefon. Kalau getar tu panjang, itu tanda ada
orang telefon. Kalau getar tu ringkas dan sekejap saja, itulah tanda ukur bagi
saya mengandaikan yang getar itu adalah getaran SMS. "Fuuh.. Ini SMS
pertama malam ni, ni!" Bisik saya dalam hati. Dalam hati, ustaz cakap
semayang tak batal.
Selesai isyak, saya dapatkan henset saya dan terus 'unlock pad'
dengan butang (*) untuk melihat gerangan siapakah yang menghantar SMS? Terkejut
hati saya apabila tertera nama makwe yang menghantar SMS. Peh, tak sangka SMS
Ramadhan pertama seumur hidup saya dihantar oleh seorang makwe. Makwe tu adalah
kawan sekolah saya dulu, tapi saya tak rasa kami berkawan baik sangat.
Takpelah, sekurang-kurangnya dia ni lawa juga. Orang pertama pula tu yang
ucapkan Ramadhan. Mak saya sendiri pun tak ucap Ramadhan. Entah semangat apa
mendorongnya menghantar SMS kepada saya. Perasaan saya masa tu dah bercampur
baur, patutkah saya gembira atau saya gembira sambil berdebar? Makwe lawa beb,
makwe lawa!
Kerana menghormati Ramadhan, saya selesaikan dahulu terawikh saya
sebelum saya fokus kepada SMS tadi. Tak manis kalau kita campur urusan akhirat
dengan hal ehwal temeh macam tu. Habis terawikh, barulah saya bercadang untuk
membalas SMS Ramadhan pertama tersebut. "Amboi, awalnya hantar sms. Tak
pergi semayang terawikh ke?" Kalau tak silap saya, saya senyum lepas tekan
'send'.
Sekarang dah masuk tahun 2014. Enam tahun dah berlalu. Sampai ke
hari ini, saya tak pernah dapat jawapan untuk soalan saya tu.
Hmm, begitulah kehidupan.
kahkah
BalasPadam