Khamis, 16 Mac 2017

Perjalanan ke Tanah Suci 6 (Menaiki bas ke Terminal Haji)

Bila sudah selamat untuk membuang tali pinggang yang mengikat perut, kami tak dibenarkan keluar dulu. Cuma yang datang ke Mekah bukan atas niat nak buat umrah sahaja yang boleh turun. Dalam kapal terbang tu, ada la dua tiga orang. Satu orang tu riak muka putih berhidung mancung dan penampilannya memakai topi bersudu saya kira seorang pemuda arab, satu orang makcik Indonesia yang gayanya macam bekerja di sini, boleh jadi sebagai pembantu rumah dan ada satu keluarga Malaysia yang seperti keriangan ingin turun. Gaya ayah galas beg laptop dia macam orang orang yang mengajar dekat U. Tak pun sedang ambik master. Itu sahaja yang pergi ke Arab Saudi ni bukan sebab nak umrah. Tolak pramugari dan pramugara, yang lain semua umrah.

Kemudian selepas lima minit, barulah Jemaah umrah ini diminta turun. Jemaah Jemaah dari Malaysia semua lengkap memakai ihram manakal Jemaah dari Indonesia stedi sahaja pakai baju batik. Bila ditanya, diorang kata khilaf. Mereka tak perlu niat semasa atas kapal terbang. Nabi dulu tak ada kapal terbang. Memandangkan saya sporting, saya okay sahaja dengan jawapan pakcik Indo tu. Benda khilaf ini, tak elok sangat berbalah. Kita berbalah bab bola je. Ini tidak. Imam baca qunut pun sampai nak panggil ke pejabat.

Keluar dari kapal terbang, kami diminta menuruni anak tangga yang tiada atap pula. Masa itulah saya dapat rasakan bahang kepanasan udara Arab Saudi. Panas juga rupanya. Mujurlah tangga tu pendek saja. Dalam dua tiga langkah saja, saya sampai ke atas jalan raya. Di situlah saya boleh melihat dengan lebih dekat bas yang saya tengok tadi. Rupanya tayar dia nampak kecil sebab masuk ke dalam. Stail juga bas macam ni. Tak ada tangga pun. Macam masuk kereta,  sekali langkah sahaja. Dan bas itulah yang akan kami semua naik untuk ke terminal haji dan umrah.

Sampai di terminal Haji dan Umrah, kami kena beratur pula untuk urusan imigresen dan cop passport. Sekali tengok pegawai imigresen di situ, semua macam garang dan bekeng bekeng. Mungkin sebab diorang tak perlu cukur janggut. Sebab tu rata rata nampak ganas. Padahal bila berurusan, biasa biasa saja. Kerani bank yang jaga nombor dekat Malaysia lagi garang saya rasa.

Kami akhirnya melangkah ke Arab Saudi secara sah. Selepas itu kami terus mendapatkan bagasi kami yang telah tersedia disusun di tepi landasan beg. Isteri saya meminta saya mengambil troli beg dahulu. Dalam perjalanan mendapatkan troli beg, ada satu pekerja kat situ hendak membantu kami menyediakan troli. Baru saya nak senyum dan berterima kasih, terus isteri saya menghalang. Masa tu lah baru teringat dekat pesan ustaz jika ada orang menawarkan khidmat mengangkat bagasi, jangan dilayan. Kerana di sini tiada khidmat yang percuma. Bukan setakat tak percuma, kena sembelih pula lagi. Saya memandang isteri saya dan mengucapkan terima kasih kerana menghindarkan saya dari perangkap senyuman manis pekerja arab.

Selesai mengambil beg, saya terus mengheret isteri saya mencari tandas. Lapan jam beb tak buang air.


Bersambung..

Perjalanan ke Tanah Suci:Episod 5 (niat di atas kapal terbang)

“Kita akan tiba di miqat satu jam lagi.” Tiba tiba deruman enjin kapal terbang disusuli dengan satu suara dari corong pembesar suara. Saya berasa lega. Saya sebenarnya bimbang dan tak senang  tidur bila selepas makan, tak ada mana mana pengumuman mengenai miqat seperti yang ustaz bagitahu. Takut juga saya kalau kalau jururterbang terlupa hendak bagitahu miqat kat mana. Lepas tu tak pasal pasal kami semua terlepas niat dan kena dam (denda).

Miqat secara mudahnya ialah sempadan antara tanah halal dan tanah haram Makkah. Bagi orang luar yang ingin masuk ke Makkah, mereka kena pakai ihram dulu dan berniat umrah sebelum melangkah ke tanah haram. Untuk yang datang dari Malaysia atau dari arah Timur Makkah, sempadan tanah halal dan haram terletak di Qarnul Manazil. JIka hendak ikut sejarah, Rasulullah lah yang menetapkan Qarnul Manazil sebagai tempat miqat bagi penduduk Najed. Secara geografi dan matematik, Qarnul Manazil ini terletak di arah timur Makkah sejauh 90KM dan merupakan salah satu laluan kapal terbang dari Malaysia menuju ke Jeddah. Jadi sebagai rakyat Malaysia yang membayar GST walaupun tak ada kena mengena, hendak tak hendak kami wajib untuk berniat umrah sebelum melepasi sempadan Qarnul Manazil.

Setelah setengah jam, juruterbang kasi lagi satu pengumuman, “Setengah jam lagi kita akan tiba lagi di miqat.” Masa tu saya dah tak lena tidur. Selain dari sebab kerusi Air Asia yang tidak sedap, saya bimbang takut tidak sempat berniat. Bila juruterbang kasitau “Lima minit lagi kita akan tiba di Miqat” barulah saya mula berniat.

“Sahaja aku membuat umrah dan berihram dengannya. JIka ada uzur syarie yang menghalang untuk aku menyempurnakan umrah ini. Maka aku jadi halal kerana Alllah taala.”

Saya berasa lega satu urusan yang penting dalam ibadah umrah saya mampu lakukan dengan jayanya. Malah saya siap tambah niat bersyarat. Kata ustaz, elok juga kalau niat bersyarat, takut takut nanti kita koma, pengsan, eksiden, dan sebagainya. Sekurang-kurangnya sudah terlepas kita dari ihram. Tak perlu risau untuk buat tiga belas larangan semasa ihram seterusnya terlepas dari membayar dam.

Dalam sepuluh minit kemudian, satu pengumuman bahawasanya kapal terbang akan turun mula kedengaran. Pramugari dan pramugara mula berjalan sekeliling dan cek supaya kerusi tegak dan tali pinggang dipakai. Ada satu pakcik tu kena sound supaya tingkap dibuka. Berkerut dahi pakcik tu. Saya suspek pakcik tu sama  macam saya kali pertama naik kapal terbang. Rasa gayat dan kecut perut pun ada juga bila kapal terbang menjunam ke bawah kemudian cecah jalan raya. Macam naik roller coaster. Tapi saya tengok kelilingn termasuk pakcik yang kena sound semua muka selamba je, saya pun buat selamba juga. Entah entah semua pun sebenarnya segan hendak buat muka berdebar.

Apabila sampai dekat Lapangan Terbang King Aziz Jeddah, mula mula sekali yang saya nampak ialah bendera Arab Saudi. Terus saya terbayang pasukan Arab Saudi yang dibelasah 8-0 masa lawan Jerman Piala Dunia 2002.

Selepas itu saya nampak pula sebuah bas yang berbadan besar, tapi rendah. Saya terfikir, macam ni ke kendaraan kat Negara orang?


Bersambung..